Click here for Myspace Layouts

Saturday, February 26, 2011

Saya Tak Mahu Jadi Dewasa

Dulu, saya nak cepat-cepat jadi dewasa
Boleh pakai kasut tumit tinggi
Boleh melaram, mekap-mekap muka
Boleh cepat kerja, sebab org slalu tanya apa cita-cita
Boleh pegi mana-mana saya suka
Boleh bercinta
Boleh balik rumah lewat malam
Banyak benda lah boleh buat kalau dah besar ni.
Lama-lama, baru saya perasan..
Saya dah tak baca komik doraemon, tapi baca majalah cleo
Saya dah tak main masak-masak tapi memang masak betul-betul
Saya dah lama dapat kunci 21
Saya dah boleh mengundi
Kahwin pun boleh, kalau saya nak.
Saya ingatkan best jadi dewasa ni
Saya boleh buat keputusan sendiri, kakak dan abang saya dah tak boleh marah saya
Saya bukan budak hingusan lagi tapi mahasiswi universiti
Universiti saya kat Eropah pulak tu, tak penah-penah saya fikir nak pergi overseas
Kalau pegi theme park, semua rides saya boleh naik, tiada halangan umur atau tinggi
Dulu saya buat karangan "Saya Seekor Nyamok" tapi baru-baru ni saya submit essay pasalforensic evidence in courts of law
Dulu saya mintak papa beli komputer sebab nak main games, tapi sekarang saya beli komputer untuk buat assignments dan macam-macam.
Rupa-rupannya...
Jadi dewasa ni...
Kena matang
Kena professional
Banyak tanggungjawab
Banyak masalah, lagi banyak dari masa remaja dulu
Banyak essay nak kene tulis
Banyak pakai duit
Tak boleh emosional tak bertempat
Kena cari makan sendiri
Kena buat keputusan, keputusan, keputusan dan keputusan
Kena kawan dengan semua orang, biarpun tak sama minat dengan kita
Kena berpada-pada kawan dengan berlainan jantina
And banyak lagi la kena,kena,kena,kena,kena dan kena..
Namun itulah sunnatullah
Saya kena hadapi dengan redha dan tabah. :)
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (Surah Al-Baqarah; 286)

Lebih Baik Saya Daripada Mereka?


Senario Dalam Komuter :
Manusia bersesak-sesak mahu ke destinasi masing-masing. Sepasang kekasih, Teruna dan Dara masuk ke koc campuran bersama-sama.
"Kalau tak berteman takut nanti terlupa atau tertinggal stesen," kata Si Teruna.
Si Dara terus sahaja bersetuju. Sanggup bersesak-sesak asalkan dapat keluar dari tren bersama-sama. Sambil itu boleh juga berbual-bual, tidaklah bosan di dalam tren nanti. Klang ke Midvalley bukan dekat. Hampir sejam juga perjalanan. Itupun kalau tidak tersangkut-sangkut. Begitulah fikir Si Dara mengiakan logik cadangan Si Teruna.
Di dalam tren, sesaknya tidak terkata. Pasangan kekasih tadi terkepung. Ruang hendak berganjak tiada. Tambah parah koc yang mereka naiki tiada wanita lain. Hanya Si Dara itu seorang dan yang seorang itulah terpaksa bersesak dengan semua lelaki yang lain.
Maka Si Teruna dengan penuh rasa kasih sayang, 'caring', lagi 'protective' menarik Si Dara supaya lebih dekat dengannya.
"Awak peganglah baju saya. Tak adalah terlanggar orang lain. Tak pun awak sandar je kat sini." cadang Si Teruna sambil menunjuk ke arah dadanya.
Si Dara yang sememangnya daripada tadi rimas dikelilingi lelaki-lelaki asing mengangguk tanda setuju. Perlahan-lahan dia meletakkan kepalanya. Terasa selamat, rasa dilindungi. Makin yakinlah Si Dara bahawa Si Teruna memang benar-benar menyayanginya. Makin mekar jugalah rasa kasih Si Dara kepada Si Teruna dan makin bangga jugalah Si Teruna kerana dapat melindungi Si Dara yang dicintainya.
Tren semakin lama semakin sesak. Makin terdesak jugalah Si Teruna dan Dara berpegangan. Si Dara tidak sanggup dirinya bersentuhan dengan lelaki lain. Maka makin kuatlah pegangannya ke pinggang Si Teruna. Si Teruna pula tidak sekali-kali membenarkan jantan lain menyentuh kekasihnya. Haram! Makin rapat jugalah ditariknya Si Dara.
" Lebih baik dia sentuh aku daripada mereka." bisik hati Si Teruna.
***
Persoalan saya, betulkah lebih baik begitu?
Inilah persoalan yang saya ajukan kepada Si Teruna dan Dara. Mereka mengaku tahu hukum bersentuhan antara bukan mahram.
"Bergomolan dengan khinzir itu adalah lebih baik berbanding bersentuhan dengan (secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahram." ( Riwayat Ibnu Majah )
"Tapi memang dah tak ada pilihan lain. Takkan nak dibiarkan Si Dara berlanggaran dengan semua lelaki lain?"
"Gua tak sanggup, bro! Itu awek gua, bro!" Bentak Si Teruna.
"Tapi dia seorang je lelaki yang saya kenal kat situ! Saya tak sanggup berlaga-laga dengan lelaki lain. Silap-silap kena raba. Sekurang-kurangnya Si Teruna sayang saya!" Bidas Si Dara pula.
Ya! Kenapa tak dibiarkan sahaja? Lebih baik dibiarkan Si Dara berlanggar dengan lelaki lain tanpa sengaja dari berpegangan dengan Si Teruna dengan sengaja!
"Yang tidak disengajakan itu mungkin boleh diampunkan Allah, tetapi adakah yang sengaja itu boleh diterima?"
"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya."(Riwayat at-Tabrani dan Baihaqi)
"Kitab mana pula yang berkata lebih baik untuk Si Dara berpegangan dengan kekasihnya daripada bersentuhan dengan lelaki selainnya?"
"Apakah ada dinyatakan dalam hukum syara' bahawa memegan teman lelaki (atau tunang) itu lebih baik atau lebih kurang dosanya daripada memegang lelaki lain?"
Jikalau siapa merasakan ada dalilnya untuk mereka berbuat begitu, maka silalah tunjukkan pada dunia. Silakan teruskan berpelukan kalau benar ada syara' yang membenarkan. Kalau tidak ada, maka berjauhlah kalian daripada masing-masing. Biarlah Si Dara naik koc wanita, Si Teruna naik koc lain. Lebih baik terlepas stesen daripada melanggar larangan Allah swt.
Akhirnya, apabila disebut tentang larangan Allah swt teringat pula kepada satu perkara yang lebih penting ;
"Pergi 'dating' bersama tu, Allah swt benarkan ke?"

Kita Sepatutnya


Hubungan cinta sebelum perkahwinan merupakan satu cabaran bagi pemuda-pemudi hari ini. Jika kita terjebak dengan perkara ini, kita mestilah berpegang kepada prinsip-prinsip yang betul dan takut kepada Allah (khauf Allah) kerana sudah pasti syaitan akan sentiasa menghasut kita untuk melakukan maksiat.

Kita sepatutnya bersyukur jika si dia :
  • Menolak ajakan kita untuk keluar.
  • Tidak selalu mengadu kesedihannya.
  • Cemburu pada tempatnya.
  • Mengajak kita untuk bertahajud.
  • Mengajak kita menutup aurat dengan sebenar benarnya.
  • Mengingatkan kita atas dosa-dosa yang kita tidak sedari.
  • Mengajak kita untuk berkahwin jika sudah mampu.
  • Menahan dari melafazkan kata-kata cinta yang tidak hak kepada kita.
Kita tidak sepatutnya bersyukur jika si dia :
  • Mengajak kita keluar ditengah malam semalaman.
  • Mengadu pada setiap saat sehinggakan terluka 2 cm pun mahu mengadu.
  • Cemburu buta sampaikan marah walaupun sedikit.
  • Mengajak kita ke majlis-majlis maksiat.
  • Bangga dengan pakaian ketat yang terdedah kita.
  • Mengajak kita membuat dosa.
  • Menangguh pernikahan semata-mata untuk mengejar kesenangan dunia.
  • Selalu melafazkan kata-kata cinta setiap hari.

Kerana Di Situlah Keindahan Hidup


Sering saya ungkapkan takdir sentiasa mengatasi tadbir. Justeru takdir itu daripada Allah Yang Maha Perkasa manakala tadbir daripada manusia yang lemah tidak berdaya.
Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah... jadi "Jabariah" dalam hidup itu.
Atau mengaku super hingga terjebak dalam "Qadariah" ketika merasakan diri bebas daripada ikatan Allah.
Kita umat pertengahan - ahli sunnah yang gigih mengatur sebaik tadbir, sekali gus menghulur setulus doa untuk dikurniakan Allah sebaik takdir!
Sejak awal tahun lagi saya ditakdirkan banyak bersama remaja. Daripada anak-anak sendiri, mahasiswa IPTA dan IPTS , ekskutif, usahawan sehinggalah pengacara TV.
Banyak yang saya sampaikan dan banyak juga yang saya belajar.
Saya bersyukur kerana jiwa jadi lebih dinamik dan bertenaga ketika diterjah oleh pelbagai persoalan oleh mereka.
Antara soalan yang kerap ditanyakan ialah apa yang hendak kita lakukan apabila ada sahaja yang tidak kena dalam hidup ini.
Ada ketika-ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena.
Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang timpa menimpa.
Bangun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, duit gaji lambat, bergaduh dengan kawan, tayar motosikal meletup dan macam-macam lagi.
Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena?
Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.

Ubah keadaan luaran atau ubah diri sendiri?

Mungkin anda juga pernah mengalami situasi begini, dan tentu sahaja kita tercari-cari panduan bagaimana hendak membetulkan semula semua keadaan yang bercelaru itu?
Dalam apa jua keadaan, remaja hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri.
Ramai orang tersilap, justeru mereka hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri.
Sunahtullahnya tidak begitu.
Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi.
Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, dimarah ayah-ibu, tayar motor yang meletup, bergaduh dengan kawan-kawan... hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita.
Pertama, remaja perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain.
Peraturan ini dinamakan Sunnatullah.
Barat menamakannya 'law of nature'. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai 'cause and effect' (sebab dan akibat).
Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain.
Malah ia juga berlaku dalam putaran kehidupan. Allah swt telah mengaturkan bahawa setiap akibat yang berlaku mesti mempunyai sebab atau punca.
Jika seseorang itu bersedih, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan dia bersedih.
Jika dia gembira, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan kegembiraan itu.
Oleh itu jika kita dapati kehidupan kita seperti serba tidak kena, maka hendaklah kita akui bahawa mesti terdapat sesuatu sebab yang menyebabkan keadaan yang serba tidak kena itu.
Sebelum mencari di mana penyebabnya, kita hendaklah terlebih dahulu mengakui akan ujudnya penyebab itu.

Membuang sikap ego

Tidak mungkin kita akan menemui sesuatu yang kita cari jika kita menafikan akan kewujudannya.
Jadi, langkah awal mengubat sesuatu yang tidak kena ini ialah membuang sikap ego.
Maksud ego di sini ialah kita mengatakan atau menganggap tiada 'penyebab-penyebab' pada keadaan yang serba tidak kena itu.
Ramai antara kita yang merasa ego, dengan berkata, "entahlah... saya tidak tahu apa yang tidak kena lagi, semuanya sudah saya lakukan, tapi gagal juga.
Dah nasib..." Atau ada yang berkata, " tak mungkin jadi begini, semuanya sudah ok sejak mula, tiba-tiba sahaja jadi begini?"
Cakap-cakap yang seumpama ini sungguhpun biasa kita dengar namun, jika diteliti ia jelas bermaksud yang penuturnya seolah-olah tidak mahu mengakui ada kesalahan yang menyebabkan sesuatu yang negatif berlaku.
Ada juga orang yang mengakui adanya penyebab-penyebab tertentu tetapi penyebab itu adalah orang lain. Bukan dirinya. Ini juga satu petanda ego.
"Saya tidak salah, yang salah bapa saya, kawan saya, motor saya..." Ketahuilah, sikap reaktif ini tidak akan menyelesaikan masalah.
Bahkan akan menambah masalah. Apa yang perlu kita cari ialah kesalahan diri kita sendiri.

Kehidupan kita, pilihan kita

Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain di atas apa yang menimpa kita. Hidup kita adalah tanggung jawab kita justeru apa yang berlaku dalam kehidupan adalah pilihan kita sebenarnya.
Orang boleh menimpakan sesuatu ke atas kita, hanya apabila kita 'mengizinkan' ia berlaku. Yang menyebabkan kita susah hati, bukan kemarahan teman-teman, tetapi apabila kita mengizinkan kemarahan teman itu menyusahkan diri kita.
Secara pro-aktif, kita boleh memilih respon kita pada sebarang situasi dalam hidup... Bila dimarahi, kita boleh memilih untuk sabar dan berdiam diri, atau marah dan bertindak-balas... terpulang!
Kitalah yang menjadi penyebab utama kepada berlakunya sesuatu akibat.
Kita perlu mengetahui, mengetahui dan mencari kesalahan itu dalam diri sendiri.
Oleh itu, bila ditimpa masalah maka muhasabah tentang perlakuan kita di semua dimensi.
Dimensi hubungan kita dengan Tuhan, manusia, pekerjaan, kewangan, kesihatan, tanggung jawab dan peranan yang telah diamanahkan bagi kita melaksanakannya.
Telitilah terlebih dahulu soal-soal besar dalam hidup kita tetapi jangan lupa... soal-soal kecil juga kadangkala memberi impak besar untuk menyumbangkan sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan.

Kecil-kecil dan beransur-ansur

Sekali lagi diingatkan, dalam mencari penyebab-penyebab atau punca-punca masalah, kita jangan hanya bertumpu mencari penyebab-penyebab yang besar.
Sebaliknya carilah penyebab-penyebab yang kecil-kecil. Kita boleh umpamakan diri sebagai seseorang yang sedang berjalan.
Jarang orang terjatuh akibat terlanggar batu-batu besar.
Sebaliknya ramai yang terjatuh apabila terpijak batu-batu kecil, kulit pisang dan sebagainya. Penyebab-penyebab yang kecil sebenarnya boleh memberi 'impak' atau kesan yang beransur-ansur.
Kita mungkin tidak nampak atau tidak perasan pada awalnya, tetapi secara tiba-tiba sahaja keadaan sudah menjadi buruk.
Ingatlah, menyelesaikan masalah harus dilakukan persis bagaimana ia bermula.
Contohnya, berat badan kita tidak menambah 10 kilogram dalam jangka masa sehari dua.
Tetapi ia bertambah sedikit demi sedikit. Maka, untuk mengatasi masalah berat badan itu, tindakan untuk mengurangkannya pun mesti dilakukan secara beransur-ansur.
Adalah mustahil untuk mengubahnya secara mendadak.
Sesuatu yang runtuh secara beransur-ansur perlu dibina secara beransur-ansur juga. Barulah tindakan kita nanti akan berhasil.
Misalnya kita menghadapi masalah bajet yang tersasar daripada apa yang ditetapkan. Kita perlu sedar bahawa kebiasaannya 'terlebih bajet' ini bukanlah disebabkan 'kebocoran' perbelanjaan yang besar-besar.
Sebaliknya ia berpunca daripada sikap tidak mengambil berat perbelanjaan yang kecil-kecil – yakni wang yang kita keluarkan untuk membeli barang-barang yang tidak perlu tetapi murah harganya secara tidak menentu masanya.
Perbuatan inilah yang sebenarnya memberi kesan besar yang buruk kepada bajet kita.
Tawaran harga murah pada sesuatu barang menyebabkan kita mula hilang pertimbangan dan mula membeli bukan atas dasar keperluan, tetapi sebab murahnya barangan itu.
Begitu juga buat remaja yang menghadapi masalah kegemukan. Kegemukan tidak pernah berlaku secara drastik.
Ia berlaku secara beransur-ansur hingga ke satu tahap, barulah kita terkesan bahawa berat badan kita sudah 'over'.
Jangan cuba mengubahnya secara mendadak.
Kita pun mula bersenam secara 'maraton', menjalani skim diet yang terlalu ketat dan macam-macam lagi tindakan yang agresif dan ekstrem.
Apa jadi akhirnya? Kita kecewa, kita mengalah dan akhirnya berputus asa bila melihat kesannya tidak seberapa.
Ya, segalanya perlu diubah secara perlahan-lahan, misalnya dengan mengubah cara pengambilan makanan, menukar kepada menu yang sihat dan bersenam secara ringan tetapi konsisten.
Jangan sekali-kali membiarkan perut kosong pada jangka waktu yang lama, ini akan menyebabkan kita mudah mendapat penyakit ulser atau gastrik pula.
Oleh itu, bertindaklah secara bijak dan beransur-ansur. Ini lebih ringan dan realistik untuk mengubah keadaan! Seperkara lagi ketika hendak memulakan sesuatu proses perubahan, jangan sesekali kita memikirkan kesempurnaan.
Kelak, kita mungkin tidak akan memulakannya langsung. Oleh itu, bermulalah dengan membuat perkara-perkara yang kecil dahulu.
Untuk memperbaharui penampilan diri misalnya, janganlah diharapkan wajah, bentuk dan gaya anda seperti bintang filem dalam masa yang singkat.
Anda akan kecewa jika mengimpikan kesempurnaan yang semacam itu. Sebaliknya, buatlah yang terbaik pada skala diri anda sendiri. Jangan bandingkan kita dengan orang lain secara tidak sihat.
Cuba bayangkan penampilan diri sendiri yang paling bergaya, cantik dan menarik – jadilah anda yang terbaik.
Itu pun secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan kesempurnaan, kerana ini akan membantutkan semangat anda untuk menangani masalah penampilan diri itu.
Elakkan daripada cepat berputus asa dan hendak melihat hasil yang segera.
Jangan naik anak-tangga secara berlari. Ada kalanya perubahan yang kita telah berbuat itu sudah pun menunjukkan kesannya, cuma ia belum kelihatan.
Konsep ini sama seperti ketika kita hendak mencairkan air batu dengan cara memanaskannya.
Menurut hukum fizik, sekiranya mula memanaskannya, molekul-molekul air itu sudah pun bergerak.
Tapi sedikit demi sedikit. Pada mulanya ia seakan-akan tidak ada tindak balas tetapi lama kelamaan, air batu tiba-tiba terus retak dan mula mencair.
Ya, barulah kesannya nampak, walaupun sejak mula memanaskannya tadi, sebenarnya itu telah pun memberi kesan, cuma tidak nampak...
Ingat, sikap hendak melihat kesan yang cepat menyebabkan kita mudah kecewa dan patah semangat di sekerat jalan.
Akhirnya, kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir.
Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas.
Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja. Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.
Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan.
Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.
Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup.
Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hari... ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar.
Dan apabila datang kesedaran, kita tetap tidak alpa... ya, selepas ini akan datang kesusahan.
Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini.
Kehidupan adalah satu perubahan yang berterusan...
Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini.
Bila yang dibuat 'serba tidak kena' itulah hakikatnya satu kehidupan. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, justeru di situlah keindahan hidup!